Ramai salah anggap dengan merasakan bahawa tamatnya bulan Ramadan, bermulalah pesta makanan yang meriah. Sehinggakan nanti tidak mustahil ada yang merungut berat badan semakin bertambah selepas raya ini. Tetapi menolak godaan makanan yang enak-enak raya ini macam sukar sahaja. Haa, kami ada tipsnya!

 

Rancang waktu pemakanan

Setelah berpuasa selama sebulan, sistem pencernaan perut telah direhatkan. Bayangkan keadaan perut anda yang telah lama berehat dan secara mengejut diberi makanan yang banyak tanpa henti. Hal ini boleh mendatangkan masalah kepada perut anda kelak.  Jadi, nasihat kami adalah merancang pemakanan anda  dengan makan secara berperingkat. Jangan makan dalam kuantiti yang banyak pada hari raya pertama. Beri masa untuk perut anda kembali beroperasi secara normal.

 

Khas buat anda yang berpenyakit

Bagi anda yang mempunyai penyakit berkaitan jantung, darah tinggi mahupun diabetis, pengawalan jenis makanan yang diambil amat penting! Elak makanan tinggi gula dan karbohidrat buat pesakit diabetis. Makanan ringan seperti kerepek dan kuah rendang atau berlemak harus dielakkan bagi pengidap sakit darah tinggi. Kandungan garam dan bahan perasa di dalam masakan tersebut sangat tinggi dan mampu menjejaskan kesihatan anda.  Bagi pesakit jantung pula, sebolehnya makanlah makanan yang telah dinasihatkan oleh doktor anda.  Makanlah kuih raya  yang sihat mengandungi oat dari kuih-kuih yang lain.

 

Elak makanan manis

Makanan mengandungi gula berlebihan sememangnya adalah taboo buat anda yang ingin mengekalkan tubuh badan langsing sihat. Sebolehnya kurangkan makan kuih raya yang banyak, dan elak dari meminum air yang bergas.  Seperti yang kita tahu, soft drinks adalah sejuk, segar dan manis. Tapi apa yang anda tidak tahu, minuman ini hampir tidak mempunyai walau sedikit khasiat pun kepada tubuh. Malah kandungan gula di dalam air ini berada di paras sangat bahaya.  Jadi, gantikan air ini dengan air pengambilan air putih dan juga jus buah-buahan jika anda memerlukan gula.

 

Kawal saiz pemakanan

Bagaimana mahu mengawal saiz pemakanan? Mudah sahaja caranya. Gunakan pinggan yang kecil ketika mengambil makanan. Ini merupakan cara disiplin yang dikatakan mampu mengawal saiz makanan anda. Jika anda menggunakan pinggan yang besar pasti kuantiti makanan yang diambil juga bertambah banyak.

 

Senaman ringkas

Perkara ini adalah perkara paling wajib untuk kekal sihat. Curilah masa setidak-ridaknya 15 minit setiap hari untuk anda lakukan senaman ringkas di  rumah. Lakukan senaman anda secara berjadual.

 

Lakukan ini dan lihatlah hasilnya. Tidak perlu sekat-sekat makanan. Hari raya ini, raikan dengan riang. Tiada lagi rungutan berat badan naik selepas raya. Selamat berdiet rapilicious dan Selamat Hari Raya!