Bertempat di Kumpulan Media Karangkraf, buat julung kalinya majalah RAPI dan Everlast telah bekerjasama menganjurkan Bengkel Women’s Self Defence 2014. Bengkel yang bermula pada 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari ini membuatkan 40 orang peserta yang rata-ratanya terdiri dari pembaca setia majalah RAPI begitu gembira dan berpuas hati.  

 

BENGKEL DIKENDALIKAN JURULATIH PROFESIONAL

Para peserta yang hadir mengikuti bengkel ini telah mendapat latihan intensif cara yang betul dalam mempertahankan diri berserta senaman regangan yang lengkap. Para peserta Bengkel Women’s Self Defence 2014 sangat bertuah kerana Everlast telah membawakan seorang jurulatih profesional Muay Thai dan Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA Fighter) iaitu Encik Saiful Merican dari Merican Muay Thai Gym. Kepakaran dan pengalaman beliau dalam seni mempertahan diri telah dikongsi bersama para peserta sepanjang bengkel ini berlangsung.

 

Bengkel membuka tirai dengan ucapan ringkas daripada Puan Zuraita Mohd Anua selaku editor majalah Rapi. Seterusnya bermulalah sesi latihan mempertahankan diri dengan kendalian sepenuhnya oleh Encik Saiful Merican.

 

Pada permulaan sesi, para peserta diberi penerangan ringkas mengenai aktiviti yang bakal dilakukan dan langkah asas pembelajaran Muay Thai. Kemudian sesi diteruskan dengan teknik pergerakan mempertahanan diri dengan tangan kosong, serangan pertahanan diri dari peralatan berbahaya dan amali latihan bersama pasangan.

 

TERUJA DAN BERPUAS HATI

Bengkel ini telah diserikan oleh kehadiran dua orang selebriti  yang pernah menjadi penghias kulit depan majalah RAPI iaitu Kaka dan Adelin Tsen. Di samping itu, Nadia Annuar Pengacara Malaysia Hari ini turut sama meluangkan masa menghadiri bengkel ini. Penglibatan mereka telah memeriahkan lagi bengkel pada hari tersebut.

 

Nyata, para peserta yang mengikuti bengkel ini kelihatan teruja kerana mendapat ilmu dan kemahiran mempertahankan diri yang betul daripada jurulatih profesional. Malah kemahiran tersebut dapat dipraktikkan dalam kehidupan dalam usaha mempertahankan diri sendiri.

 

Menurut Rohanita Maajis, Eksekutif Periklanan dan Promosi Everlast, seni bela diri amat penting untuk mempertahankan diri. Lebih-lebih lagi ia merupakan latar belakang bagi jenama Everlast yang menampilkan sukan tinju. “Oleh itu, kami amat gembira dan berbesar hati bengkel ini berjalan dengan lancar dan mendapat maklum balas yang positif dari para peserta. Kerjasama yang baik dari pihak majalah Rapi juga telah menjadikan bengkel ini lebih berjaya. Diharap program seperti ini akan diadakan lagi pada masa hadapan dan memberi manfaat kepada semua,” jelasnya lagi.

 

ACARA PENUTUP

Setelah selesai semua sesi latihan, acara diteruskan lagi dengan sesi cabutan bertuah dan penyerahan sijil penyertaan yang disampaikan oleh para artis jemputan dan Encik Saiful Merican. Seterusnya Editor majalah RAPI menyampaikan cenderahati kepada Encik Saiful dan Rohanita wakil dari Everlast. Sebelum berakhirnya Bengkel Women’s Self Defence 2014, semua peserta telah diberikan goodies bag tajaan majalah RAPI dan Everlast.

 

Terima kasih diucapkan kepada Everlast kerana sudi bekerjasama dengan majalah RAPI dan seterusnya menjadi penaja utama Bengkel Women’s Self Defence 2014 . Ucapan penghargaan juga buat para peserta yang hadir bengkel kali ini. Jumpa lagi untuk bengkel akan datang!