Team RAPI telah dijemput untuk menjadi penganjur bersama bengkel oleh BAKAT (Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera), di Kem Kementah, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Kelainan kali ini buat team RAPI kerana buat pertama kalinya mengadakan bengkel bersama pegawai dan isteri-isteri tentera. Ikuti pengalaman kami bersama mereka sepanjang perjalanan bengkel ini.

 

Pagi nan aktif...
Pendaftaran dibuka seawal jam 8 pagi. Kesemua peserta kelihatan begitu bersemangat untuk memulakan bengkel pada hari itu. Untuk memulakan aktiviti pagi tersebut, semua peserta mengikuti kelas Zumba yang dikendalikan oleh Rusnani Hamzah dan
team yang dibawa khas dari Bahau, Negeri Sembilan. Walaupun berpanas, kesemua peserta sangat aktif mengikut rentak Zumba yang diajar. Masing-masing tidak mahu ketinggalan untuk bersenam pagi itu. Aktif sungguh!


Sebaik selesai, bengkel diteruskan oleh wakil daripada 101 Hair Care, Cik Fanny Ling. Untuk sesi ini, para peserta didedahkan dengan masalah-masalah rambut dan kulit kepala. Mereka turut diajar tentang penjagaan rambut. Para peserta memberi sepenuh perhatian kepada sesi ini dan banyak soalan berkaitan rambut diajukan kepada wakil 101 Hair Care. Ternyata mereka amat menitikberatkan soal kesihatan rambut dan kulit kepala. Cik Fanny turut mengajar para peserta tentang teknik bersyampu yang betul. 101 Hair Care turut bermurah hati mengadakan sesi pemeriksaan rambut untuk para peserta.

 

Fesyen dan ‘rahsia’ seorang wanita

Seterusnya, bengkel diteruskan dengan slot Almaree The Twinz Gallery. Untuk sesi mereka, wakil daripada butik ini iaitu Nomi Natasya dan Yamin Syamila telah memilih beberapa orang model dalam kalangan peserta untuk memperagakan busana yang dibawa oleh Almaree The Twinz Gallery.

 

Selain bercerita tentang fesyen terkini, mereka turut mengetengahkan cara-cara pemilihan pakaian yang sesuai mengikut bentuk tubuh, warna kulit, dan material busana. Kesemua peserta amat teruja dengan sesi ini apatah lagi kerana rakan-rakan
mereka menjadi model pada hari itu. Seterusnya adalah slot daripada Cosry. Wakil Cosry, Cik Zu telah bercerita tentang bentuk
tubuh seorang wanita dan ‘rahsia’ yang mahu mereka sembunyikan.

 

Salah seorang peserta dipilih untuk mencuba korset keluaran Cosry. Sementara menunggu peserta terpilih memakai korset, banyak tip pemilihan korset dan pakaian dalam yang diterangkan oleh Cosry. Mungkin inilah yang wanita inginkan, semua peserta
betul-betul berminat dengan sesi ini. Kami turut mengadakan cabutan bertuah pada hari tersebut. Gamat jadinya! Masing-masing
menunggu jika nama mereka dipanggil.

 

Sesi solekan dan pemakaian hijab
Pada jam 2.30 petang, bengkel diteruskan dengan sesi solekan daripada wakil FCC. Bukan sahaja panduan bersolek diberikan, bahkan wakil daripada FCC telah memilih dua orang peserta untuk dimekap. Dua jenis solekan yang diajarkan pada hari tersebut adalah mekap siang dan mekap malam. Selain pemilihan warna yang sesuai, sesi solekan ini turut mengajar para peserta untuk membuat solekan mata yang cantik dan teknik membuat shading yang tepat.


Melengkapi slot kecantikan, Puan Anizon Hussin daripada Anizon’s Collection mengakhiri bengkel kecantikan pada hari tersebut. Memberi tip pemakaian hijab cara mudah buat wanita, semua peserta teruja untuk mencuba gaya tudung yang diajarkan. Bahkan di dalam sesi ini, Anizon turut membuat tujuh tutorial pemakaian hijab (untuk stail satu minggu). Hebat kan?

 

Berakhir hari yang meriah...
Seperti biasa, bengkel anjuran RAPI akan diakhiri dengan sesi senaman. Untuk petang ini, Rusnani dan team mengajar peserta membuat BOKWA pada petang itu. Semua peserta kelihatan sangat teruja dan tidak sabar-sabar untuk memulakan sesi ini. Semuanya sedia mengambil tempat. Memang meriah. Beberapa langkah BOKWA diajarkan kepada mereka dan semuanya bersungguh-sungguh mengikut. Bukan main ligat semua peserta!

 

Team RAPI ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada BAKAT kerana sudi menjemput kami sebagai penganjur bersama untuk bengkel mereka kali ini. Setinggi-tinggi penghargaan daripada kami buat semua peserta dan pihak yang terlibat untuk menjayakan bengkel ini. Terima kasih semua dan semoga berjumpa lagi!