Keadaan cuaca panas dan berjerebu tidak menentu ini kadangkala membuatkan tekak merasa sakit dan pedih. Ditambah dengan bulan puasa ini, kekurangan air juga mampu membuatkan kita rasa tidak sihat. Apa kata kita sebagai menu air berbuka, kita cuba Laici Kang. Jika anda ingin tahu, selain enak air ini juga dikatakan banyak khasiat untuk kesihatan badan. Ingin tahu khasiat apa yang terkandung pada Laici Kang dan cara membuatnya? Jom baca…

 

Bahan-bahan

·         Air gula atau air sirap

·         Sedikit agar-agar berwarna

·         Barli yang telah direbus

·         Buah kabung

·         Buah laici ( dalam tin)

·         Sedikit isi cendol

·         Cincau

·         1 sudu besar katirah ( direndam selama 4 jam)

·         2 sudu besar biji selasih ( direndam selama 5 minit)

·         5 ke 6 biji buah kembang semangkuk ( direndam selama 5 jam)

 

Cara-cara

Cara membuatnya amat mudah sekali. Apa yang anda perlu lakukan adalah campurkan kesemua bahan diatas. Laici kang anda siap untuk dihidangkan dan diminum.

 

Khasiat Barli

Barli atau nama botaninya Hordeum Vulgarie dikatakan bijirin pertama yang telah ditanam di timur tengah kira-kira 9000 tahun dan mungkin juga merupakan bijirin terawal dan paling penting pada ketika itu. Kajian klinikal di Australia, Kanada dan Amerika Syarikat melaporkan bahawa serat daripada barli efektif dalam merendahkan kolesterol dalam darah. Serat yang tidak mudah larut dalam barli adalah penting bagi memastikan usus dapat berfungsi dengan sihat.

 

Barli juga merupakan sumber baik bagi vitamin B dan sesetengah galian. Kromium sebagai contohnya merupakan galian yang merangsangkan penyejatan glukosa dalam darah. Penyelidik di England melaporkan barli mempunyai kromium yang tinggi dan dikatakan merupakan sumber terbaik kromium. Pesakit diabetes perlu mengawasi tahap gula dalam darah dengan berhati-hati. Jika memakan barli dalam jumlah yang signifikan atau dimakan sebagai makanan tambahan. Hipoglisemia (gula dalam darah rendah) boleh berlaku.

 

Khasiat buah kembang semangkuk

Buah kembang semangkuk paling popular dijadikan bahan dalam minuman lai chi kang dan airbatu campur. Scaphium macropodum dan scaphium lychnophorum menghasilkan jeli yang terbaik dalam spesis scapium. Buah kembang semangkuk yang direndam di dalam air dan diminum serta dimakan buahnya dipercayai boleh menurunkan panas badan (ketika demam). Air rendaman buah kembang semangkuk ini juga dapat digunakan untuk merawat asma, pendarahan hidung, melawaskan pembuangan air besar, masalah kulit, sakit mata, sakit gigi, kecacingan di kalangan kanak-kanak dan cirit birit.

 

Kulit pokok kembang semangkuk bersama herba yang lain direbus dan diminum boleh merawat disenteri dan pendarahan rahim. Meminum air rebusan ini juga boleh menolong melawaskan pembuangan air kecil.

 

Gabungan bahan-bahan ni di dalam air laici kang mempunyai khasiat yang sangat bagus untuk kesihatan badan. Cara membuatnya juga sangat mudah. Anda boleh lakukannya sendiri di rumah dan jadikannya sebagai amalan minuman anda. Ada beberapa hari lagi bulan Ramadan ini, jom kita buat!