Orangnya comel, umpama gadis Korea. Hadir ke Karangkraf dengan penampilan ringkas dan wajah bebas solekan. Tampak pendiam, namun ia hanya bertahan pada beberapa saat pertama. Rupanya Yana jenis yang tidak tahu duduk diam! Dengannya kami bertanyakan tentang amalan kesihatan dan kecergasan, maka terlahirlah artikel yang menceritakan perihal Yana, sebagai gadis muka hadapan kali ini.

 

RAPI: Hai Yana! Dengar khabar anda suka berjalan-jalan di taman ketika waktu senggang, ya?

YANA: Betul, itulah terapi saya. Berjalan-jalan di taman adalah kegemaran saya. Tetapi saya tidak keseorangan, ada yang menemani.

RAPI: Siapa yang menemani?

YANA: Antonio! Jangan salah faham, bukan lelaki, ya. Antonio adalah kucing peliharaan saya. Ia adalah kucing spesis Bengal. Tetapi itu dulu, sekarang ia tidak lagi menemani saya.

 

RAPI: Comelnya terapi Yana, bermain dengan kucing. Tetapi, apa pula kisahnya dengan Antonio?

YANA: Oh, ia sudah tua. Usianya sudah mencecah enam tahun. Sudah tidak ada mood mahu berjalan. Jadi sekarang saya ke taman dengan teman yang lain pula, namanya Kadir. Tetapi Kadir ni kucing betina. Waktu kecil saya ingatkan ia jantan, sebab itulah dinamakan Kadir. Rupa-rupanya betina pula.

 

RAPI: Memandangkan terapi pilihan kita kali ini adalah memancing, apa pendapat Yana tentang hobi ini?

YANA: Saya sangat kagum dengan orang yang gemar memancing. Mereka sangat penyabar kan? Sanggup tunggu berjam-jam hanya kerana seekor ikan. Saya sukakan aktiviti luar, apatah lagi yang melibatkan alam sekitar. Tetapi bukan memancing kerana saya seorang penggeli. Tak boleh tengok cacing dijadikan umpan!

RAPI: Mari kita bercerita tentang kecergasan. Apa yang Yana buat untuk kekal cergas?

YANA: Saya suka berjoging. Semestinya apabila mempunyai masa terluang, joging adalah antara senaman yang akan saya buat. Paling sikit pun saya akan berlari sehingga 2.2km. tetapi biasanya saya target untuk mencapai 8.8km. Selain itu, saya sukakan yoga. Ia membantu saya menurunkan berat badan. Dengan hanya bergurukan VCD, sudah banyak pergerakan yoga yang saya pelajari. Saya tidak mengikuti sebarang kelas pun.

RAPI: Bagusnya! Boleh kongsikan dengan kami pendapat Yana tentang kesihatan?

YANA: Bagi saya, kesihatan adalah gabungan kecergasan dan diet seimbang. Ia bermula daripada kekuatan mental dan fizikal kita. Hidup juga perlu sentiasa positif. Harus bijak mengekalkan keseimbangan antara emosi dan beban kerja. Selain aktiviti kecergasan, saya menganggap kerja sebagai satu terapi bagi mengelakkan stres.

 

"Saya hanya akan makan buah tembikai dan oren yang dipotong. Dari pagi, petang, dan malam, itulah diet saya. Jangan terkejut ya, cara ini membantu saya turun sehingga lima kg dalam seminggu!"

 

RAPI: Sebelum soalan terakhir, boleh Yana ceritakan perkembangan terbaharu anda?

YANA: Buat masa ini, saya sedang berehat daripada sebarang penggambaran. Ada beberapa tawaran berlakon, tetapi masih dalam pertimbangan lagi. In sha Allah filem terbaharu saya, ‘Adnan Sempit 3’ akan ditayangkan dalam bulan ini.

RAPI: Sebelum berpisah, apa pesanan Yana buat pembaca RAPI?

YANA: Jalani hidup anda dalam persekitaran yang penuh ketenangan. Sihat, cantik, dan cergas bermula daripada pemikiran yang positif. Saya percaya, hati yang sentiasa bersangka baik terhadap orang lain dan setiap perkara negatif akan menyerlahkan sisi terbaik dalam diri kita.

 

Menarik Bulan ini

 

Info berguna untuk mendapatkan perut rata hanya selama tiga bulan, ketahui juga bagaimana panduan untuk tampil lebih cantik di pagi syawal. Sesuai bagi anda yang mengalami strees, kami kongsikan cara menanganinya dengan hanya selama lima minit. Bagi anda yang inginkan makan malam tapi juga ingin mengekalkan kelangsingan tubuh badan, kami ada rahsianya. Banyak dan banyak lagi tip serta info berguna! Dapatkan Rapi di pasaran sekarang!