Orangnya manis. Putih gebu dan amat murah dengan senyuman. Tatkala senyum, lesung pipitnya jelas kelihatan. Milik siapakah agaknya hati gadis ini? Mengatur janji temu seawal jam sembilan pagi, Saleha akhirnya tiba setengah jam kemudian. Dia rupanya sesat dan tidak begitu arif selok belok kawasan Seri Kembangan. “Maaf ya kak. Lambat. Saya sesat.Penggambaran kita boleh habis jam dua petang kan? Saya perlu rushing ke Kuala Lumpur untuk shooting poster filem,” ujar Saleha.
 
Begitulah sibuknya artis yang makin meningkat naik dan menjadi bualan peminat drama dan filem tempatan ini. Menghormati permintaannya, penulis terus meminta Ajam selaku jurusolek kami pada hari itu untuk mendandan rapi Saleha. Berkonsepkan percutian, kami memilih Mines Wellnes Hotel Seri Kembangan untuk dijadikan lokasi pergambaran. Kena sangatlah dengan temanya, Siti Saleha sememangnya seorang yang gemar bercuti. 
 
Suka Mengembara
“Saya memang suka travel. Saya baru sahaja pulang dari Phuket. Saja habiskan cuti dengan rakan-rakan. Biasanya setiap tahun pada bulan November hingga Disember, saya dan adik akan balik ke United Kingdom. Tetapi memandangkan jadual yang terlalu padat, saya tangguhkan dahulu percutian saya ke sana.Percutian bagi saya adalah masa untuk saya hargai diri sendiri untuk berehat daripada segala kekusutan sekaligus meninjau negara orang. Saya suka explore sesuatu yang baru sekaligus membandingkan negara kita dengan negara-negara yang lain. Setakat ini, saya sudah menjelajah ke United Kingdom (UK), Paris, Berlin, Korea, Vietnam, New York, Spain, Singapura, Indonesia, Bangkok dan beberapa negara lain lagi. Saya berpeluang berkunjung hampir ke-10 buah tempat di dunia ini. Secara peribadinya, saya seorang yang suka mengembara.
 
Saya suka melihat kota-kota bersejarah, melihat cara hidup masyarakat negara mereka, budaya, cara pergaulan dan juga komunikasi sekaligus saya mampu menjadi duta kecil untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Setiap tahun, saya akan peruntukkan masa untuk bercuti merehatkan badan setelah penat bekerja. Paling lama saya bercuti di UK (rumah ibunya) iaitu hampir dua bulan. Biasanya, disana saya banyak habiskan masa bersama keluarga memandangkan keluarga ibu saya semuanya menetap di sana. Kali pertama saya bercuti ketika usia saya mencecah 14 tahun. Walaupun dilahirkan di England, tapi itulah pertama kali (setelah besar) saya menjejakkan kaki ke UK. Kami ke sana satu keluarga dengan menghabiskan masa tiga hingga empat minggu. Itulah saat yang paling indah dalam percutian 
 
Tragedi Percutian
“Dua tahun lepas, ketika saya dan kawan-kawan bercuti di Bali, Indonesia untuk sambutan tahun baru, saya pernah membeli jagung dengan harga RM17. Ketika itu, saya bertanyakan harga kepada penjualnya, berapa? Dia menjawab RP50 ribu rupiah. Jadi saya terus membayarnya. Setelah selesai membeli, saya menuju untuk lepak dengan kawan-kawan. Mereka bertanyakan harga jagung yang saya beli tadi. Terkejut saya apabila dapat tahu sebenarnya harga jagung tadi hanyalah sekitar RM1.70 (5 ribu rupiah). Lain kali, saya harus berhati-hati untuk membeli sesuatu supaya tidak tertipu lagi.Selepas berlibur bersama teman-teman di Bali, kami kemudiannya pulang ke Malaysia. Setibanya di lapangan terbang (di Bali), tiada seorang pun di antara kami mempunyai wang. Jadi bagaimana untuk kami bayar airport tax? Kami semua panik. Duit memang satu sen pun dah tak ada lagi. Kebetulan, ada kawan kami di situ, jadi kami pinjam duit dari dia. Moral of the strory, beringat-ingatlah. Jangan keterlaluan apabila berbelanja,” ceritanya lagi yang gemar mengumpul magnet peti ais. 
 
Azam 2013
“Kalau tahun ini, saya berazam memupuk minat saya untuk membaca. Ini kerana saya tidak suka membaca. Alhamdulillah, kiranya azam saya sudahpun tercapai kerana saya mampu menghabiskan hampir 15 buah buku berbentuk motivasi, kehidupan, inspirasi cinta dan beberapa buah buku lain lagi untuk tahun ini. Bagi saya, membaca itu bagus kerana ia mampu meningkatkan tahap grammar di samping saya dapat mempelajari beberapa perkataan baru. Insya Allah untuk tahun 2013 pula, saya memasang niat untuk belajar memasak. Kalau dahulu, ayah saya tidak benarkan anak-anaknya ke dapur kerana dia takut anak-anaknya membuka gas dan masak. Jadi, apabila saya pindah rumah dan tinggal bujang, saya lihat kawan-kawan masak dan dari situ saya mula memasak. Masakan terhebat saya setakat ini adalah kari hijau (sambil ketawa kecil). Saya juga suka masak masakan ala Thai. Saya mahu jadi seperti ayah yang pandai memasak. Dia pandai buat mi goreng mamak. Mungkin selepas ini saya akan cuba buat cupcakes atau apa sahaja berbentuk kek. Saya juga pernah masak tomyam, pasta, dan lain-lain. Masakan barat sudah biasa saya hidangkan memandangkan ibu saya berasal dari sana. Kini saya hidup sendirian di Damansara. Semuanya atas keizinan keluarga. Alhamdulillah, saya belajar lebih banyak perkara terutamanya untuk hidup berdikari,” terang Saleha yang bercitacita untuk menyambut tahun baru di Thailand. 
 
Amalkan Makanan Sihat 
“Waktu shooting, saya banyak makan buah-buahan. Biasanya, mereka akan hidangkan nasi di set penggambaran, jadi saya harus kawalpemakanan saya kerana makanan di lokasi semuanya sedap-sedap. Baka sebelah ibu saya semuanya berbadan besar, jadi mahu atau tidak, saya harus mengawal selera saya. Selain buah, saya juga makan salad. Saya juga amalkan makanan tambahan seperti vitamin C. Alhamdulillah, kulit saya tidak mengalami masalah sensitif dan saya sangat menjaga kesihatan saya untuk jangka masa yang panjang. Ianya perlu untuk karier saya. Jika di rumah, saya hanya lakukan push up dan sit up. Tahun lepas, saya ada mengikuti kelas kick boxing. Tapi akhirnya berhenti separuh jalan kerana teman saya berpindah ke luar negara dan saya tiada teman untuk ke kelas tersebut. Punching bag saya gunakan di rumah. Biasanya saya akan lakukan 100 kali tendangan kiri dan 100 kali tendangan kanan,” jelas wanita lasak ini lagi.
 
 
Perancangan Akan Datang 
“Semua orang mempunyai cita-cita. Begitu juga dengan saya. InsyaAllah, saya mahu mempunyai sebuah production house sendiri. Saya mahu menulis skrip dan sebagainya. Kini saya sedang melakukan kajian tentang pembikinan filem dan drama. Saya impikan sebuah filem hasil Tim Burton yang menghasilkan filem animasi yang sangat bagus. Filem sains fiksyen seperti arahan Burbert. Sekarang ini saya banyak muat turun filem-filem dari tahun 60-an dan 70-an untuk ditonton. Saya sukakan filem-filem yang sedemikian. Saya kurang menggemari filem-filem psycho. Saya lebih suka filem yang boleh membuatkan masyarakat berfikir, cerita cinta dan juga filem yang bermain dengan emosi. Sekarang saya banyak membaca. Dari situ saya banyak idea. Apabila di set penggambaran, saya banyak bergaul dengan mereka yang berpengalaman.” katanya.
 
Tentang Siti Saleha
  •  Seorang yang kasar tapi masih ada soft side.
  • Pandai melukis.
  • Malas sikat rambut.
  • Suka warnakan rambut tetapi tidak terlalu terang.
  • Pacat? Sangat geli dan takut.
  • Saya jadi takut apabila orang bercerita tentang saat mereka melahirkan.
  • Sukakan hiasan dalaman.
  • Boleh menyanyi dan mahu mencuba bidang nyanyian jika diberikan peluang.
  • Sukakan sukan ekstrim seperti bungy jumping.
 
Tip percutian dari Siti Saleha
  • Jangan bajet berlebihan
  • Jika nak packing bag, jangan sesekali beratkan beg. Seolah-olah mahu bawa semua barang untuk bercuti.
  • Bawa passport ke mana sahaja kita pergi. 
  • Jangan sesekali beri beg anda pada mereka yang kita tidak kenali.
  • Cari pasangan yang sesuai untuk bercuti.
  • Enjoy percutian anda.
  • Explore lokasi percutian anda.
  • Paling penting, pandai tawar menawar jika membeli satu-satu barang.