Rasanya perkataan kanser itu sahaja sudah digeruni oleh kebanyakan wanita. Lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai keturunan penyakit ini. Masihkah anda ingat, beberapa tahun yang lalu, kita pernah dikejutkan dengan keputusan aktres terkenal, Angelina Jolie yang sanggup membuang kedua-dua payudaranya untuk digantikan dengan implan bagi mengelak serangan kanser payudara.  Adakah tindakan itu terlalu berani, sanggupkah kita juga berbuat demikian?

Menurut beliau, tindakannya  menjalani pembedahan itu kerana memikirkan kepentingan anak-anaknya. Selepas menjalani ujian genetik, dia didapati membawa gen BRCA1 dan mempunyai risiko 87 peratus untuk menghidap kanser payudara dan 51 peratus untuk kanser ovari. Dia tidak mahu kejadian yang sama menimpa kepada dirinya yang kehilangan ibu disebabkan kanser ketika berusia 56 tahun.

Benar dan mungkin tidak salah untuk melakukan langkah pencegahan awal. Tetapi, tindakan aktres terkenal ini dikhuatiri akan menambah tekanan kepada wanita-wanita di luar sana. Kos untuk menjalankan prosedur ini bukannya murah, malah ia melibatkan jutaan dolar. Secara realitinya, ia hanya mampu ditanggung oleh golongan atasan dan berkehidupan mewah seperti Angelina Jolie.

Bagaimana pula dengan ibu-ibu yang tidak mempunyai wang banyak seperti Jolie? Rata-rata ibu yang bekerja juga tidak akan mampu untuk bercuti selama berbulan-bulan bagi menjalani prosedur tersebut. Terdapat beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan ‘kempen’ Jolie itu kerana menurut mereka cadangan Jolie memberi kebimbangan kepada para wanita bahawa payudara mampu membunuh.

Setakat ini, bagaimana secara tepat barah payudara boleh terjadi belum diketahui lagi. Namun, penyelidik-penyelidik telah membuat kesimpulan bahawa punca utama menyebabkan barah adalah gandingan faktor keturunan (faktor genetik) dan persekitaran (faktor alam sekeliling). Jadi, ia bukan hanya disebabkan faktor genetik semata-mata, tetapi juga melibatkan gaya hidup dan persekitaran.

 Apa yang dilakukan aktres terkenal ini memang mengejutkan kerana alasannya berpandukan faktor genetik untuk membuat keputusan membuang payudara. Tetapi RASA faham niat Angelina itu mungkin untuk terus menjadi ibu kepada anak-anak beliau selama yang mungkin tanpa perlu risau diserang penyakit maut. Beliau juga kemudiannya melakukan pembedahan seterusnya untuk pembentukan payudara dan memasukkan implan pada awal 2014.

Membuang payudara bukanlah satu-satunya cara yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan diri dari kanser. Setepatnya jalanilah cara hidup sihat bermula dari sekarang, sentiasa melakukan pemeriksaan dan bagi yang berpotensi kenalah lebih peka dan mendapat nasihat daripada doktor pakar.