Nestle (Malaysia) Berhad bersama Tetra Pak Malaysia telah melancarkan projek terbaru yang dinamakan The CAREton project.  Projek ini menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 1.5 bilion kotak minuman terpakai bagi dikitar semula menjadi jubin bumbung rumah. Wow, biar betul?   

 

Jubin bumbung ini kemudian akan digunakan oleh EPIC Homes dalam proses pembuatan lima buah rumah buat keluarga Orang Asli yang amat memerlukan bantuan.

 

EPIC Homes merupakan satu inisiatif oleh EPIC Collaborative untuk menyediakan rumah bagi komuniti Malaysia yang kurang bernasib baik. Mereka kini lebih tertumpu untuk membantu masyarakat pribumi iaitu Orang Asli. Dalam kita mengitar semula, dapat membantu mereka yang dalam kesusahan. Kalau anda nak tahu, kotak bungkusan yang dihasilkan oleh  Tetra Pak mengandungi 75% kertas, 20% polietilena, dan 5% foil aluminium.

 

Jadi, untuk kempen ini, bahan berasaskan polietilena dan aluminium akan diasingkan dan dikitar menjadi jubin bumbung rumah dan didermakan kepada EPIC Homes. Manakala, bahan berasaskan kertas akan diekstrak daripada kotak bungkusan minuman yang terkumpul menjadi buku latihan buat golongan kanak-kanak Orang Asli.

 

Tahun ini  merupakan kali keempat berturut-turut Nestle dan Tetra Pak berkolaborasi bersama dalam mempromosikan semangat kitar semula di kalangan pengguna. Hal ini, secara tidak langsung membantu dalam memupuk tanggungjawab sosial dalam sesebuah komuniti yang mengamalkan cara hidup persekitaran sihat.

 

Bagi anda yang ingin tahu lebih lanjut mengenai The CAREton project ini, bolehlah melayari laman web rasmi Tetra Pak dan laman sosial facebook mereka. Bersamalah kita membantu dalam melestarikan alam sekitar di samping menyumbang kepada kebajikan mereka yang memerlukan. Rapilicious boleh!