Agresif. Aktif. Muda. Segar. Semua ciri ini ada pada personaliti Profil kali ini. Siapa yang tidak kenal dengan Stacy? Dia cukup sinonim dengan lagu dan gerak tari lincah di atas pentas. Melihatkannya membuat kita teruja dan mahu turut menari. Peminat juga selalu menanti-nantikan kemunculan Stacy bagi melihat imej dan gaya rambut terkini. Istimewa keluaran kali ini, Stacy berkongsi semua tentang terapi, penjagaan kecantikan, kesihatan dan juga kecergasan dirinya.

 

RAPI: Sejak bila minat menari dan bagaimana ia berputik?

Stacy: Sebelum ini abang saya terlebih dulu terlibat dalam tarian. Saya sering melihatnya dan lama-kelamaan timbul minat dalam diri saya. Selepas itu saya pun mencuba dan akhirnya dapat membuat persembahan pertama. Ia menguatkan lagi minat saya untuk lebih aktif dalam dunia tarian.

 

RAPI: Adakah menari dianggap sebagai satu terapi?

Stacy: Oh sudah tentu! Pada waktu inilah saya dapat menggerakkan keseluruhan tubuh dan paling bagus ialah peluh dapat dikeluarkan secara sihat.

 

RAPI: Waktu bila agaknya akan menari, selain sewaktu latihan?

Stacy: Apabila mendengar muzik, terutamanya muzik rancak. Lagu perlahan pun boleh buat menari juga tetapi lagi seronok kalau dapat menari diiringi lagu-lagu rancak.

 

RAPI: Berapa jam sehari diperuntukkan untuk menari?

Stacy: Lama juga, antara 4 ke 6 jam. Masa akan menjadi lama apabila ada persembahan yang perlu dilakukan. Selain berlatih bagi memantapkan persembahan, inilah juga masanya untuk mereka cipta langkah-langkah tarian yang baru. Sudah tentu saya mahu berikan kelainan agar penonton tidak bosan.

 

RAPI: Selain menari, apa lagi terapi buat Stacy?

Stacy: Saya suka mendapat urutan badan. Bukan sahaja dapat melepaskan lelah malah urutan juga membuatkan badan saya kembali segar. Saya akan pastikan mendapatkan urutan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Dalam masa yang sama saya juga mendengar lagu-lagu menenangkan sebagai satu terapi.

 

RAPI: Khabarnya aktif bermain badminton, sejak bila dan kenapa?

Stacy: Minat bermain badminton itu baru bermula tahun lalu. Kebetulan pada waktu itu badan saya agak berisi. Oleh itu saya menjadikan aktiviti badminton sebagai salah satu cara untuk mengurangkan berat badan. Tidak sangka pula aktiviti bermain badminton itu berpanjangan sehingga ke hari ini.

 

RAPI: Rutin bermain badminton, dengan siapa dan di mana?

Stacy: Dalam seminggu, 2 ke 3 kali juga saya turun ke gelanggang bermain badminton. Tempat pilih sudah semestinya yang berdekatan rumah. Abang-abang dan kakak saya juga gemar bermain badminton. Kadang-kadang ada juga teman-teman turun bermain sama. Jadi saya tiada masalah untuk mencari pasangan untuk bermain badminton.

 

Sukakan Street Fashion

 

RAPI: Beralih kepada fesyen, gaya  bagaimana yang disukai?

Stacy: Street fashion. Saya memilih gaya itu kerana ia lebih kena dengan jiwa. Lagi pun sebagai penyanyi, gaya ini dilihat bertepatan dengan genre yang saya perjuangkan.

 

RAPI: Siapa yang dijadikan idola dalam berfesyen?

Stacy: Saya tidak ada individu yangspesifik kerana ramai yang saya jadikan rujukan fesyen. Asalkan ia menepati cita rasa, saya akan mencubanya. Paling penting, ia haruslah mengikut peredaran masa dan trend terkini.

 

 

Terkini

Rahsia Stacy mengekalkan berat badannya ada kami kongsikan di dalam Majalah Rapi edisi 1 Disember 2013! Ketahui juga 15 rahsia kekal sihat dan muda, bagaimana cara untuk mendapatkan perut yang rata dan mantap. Bukan itu sahja, cara untuk gebukan kulit dengan rawatan emas, panduan untuk mengelakkan risiko hamil lewat usia dan banyak lagi! Semuanya ada dalam Rapi! Cepat, sebelum terlambat!