Semakin hari lakonannya semakin mantap dan wanita cantik ini diberi kepercayaan untuk memegang lebih banyak peranan utama dalam drama dan filem. Penulis kagum dengan sikap profesionalisme Jue Aziz kerana tidak sedikit pun mengeluh ketika menjalani sesi fotografi kali ini. Walaupun hujan renyai dan angin kuat,dia terus beraksi di hadapan kamera dengan senyuman manis dan idea mencurah-curah
bagi mendapatkan sudut paling menarik. Inilah hasilnya...
 
RAPI: Hai Jue! Boleh ceritakan serba sedikit tentang diri anda?
JUE: Hai! Nama sebenar Jue adalah Zuliana Abd. Aziz. Jue dilahirkan di Ampang pada 18 Februari 1983. Bernaung di bawah bintang zodiak Aquarius. Jue adalah anak bongsu dari lima orang beradik. mempunyai dua orang abang dan dua orang kakak. 
 
RAPI: Apa perkembangan terbaharu Jue sekarang? 
JUE: Jue baharu selesai menjalani penggambaran untuk sebuah drama bersiri 26 episod untuk siaran RTM. Judulnya adalah ‘Antara Laut China Selatan’. Pelakon-pelakon lain yang terlibat dengan drama bersiri tersebut antaranya adalah Liza Abdullah, Adlin (AF), Nera (AF), dan banyak lagi. Jue memegang watak sebagai Cikgu Siti Zubaidah. Banyak permainan emosi dalam cerita ini.Selain itu, Jue juga ada berlakon dalam sebuah telemovie bersama Zul Huzaimy, ‘Tiang Surau’.Penghasilan skrip adalah oleh Zul sendiri. Kami berlakon di Grik, Kedah dan Jue terpaksa belajar bercakap loghat utara. Susah! (katanya sambil tertawa)
 
RAPI: Ramai yang mula mengenali Jue melalui sebuah program realiti, tetapi bagaimana kerjaya Jue dalam bidang seni bermula?
JUE: Betul. Jue mu lai dikenali melalui rancangan tersebut tetapi peluang berlakon yang pertama ditawarkan oleh Ahmad Idham. Waktu dapat tawaran untuk berlakon ketika itu, Jue tak terima kerana masih tidak tahu macam mana untuk membawa diri dalam bidang ini. Jue juga tidak berani kerana tidak pasti dengan kemampuan Jue pada waktu itu. Ramai yang tidak tahu sebenarnya Jue menyertai program realiti itu secara tidak disengajakan. Awalnya cuma sekadar menemani kakak ipar Jue. Tak sangka pula ada rezeki terpilih menjadi finalis. Seingat Jue, lakonan awal Jue adalah teater. Banyak dapat dorongan daripada keluarga dan kawan-kawan rapat ketika itu.
 
RAPI: Sudah banyak berlakon, sudah tentu ada watak-watak tertentu yang memberi kesan kepada emosi Jue? 
JUE: Watak yang memberi kesan kepada Jue adalah apabila berlakon dalam cerita kekeluargaan. terutamanya bilamenjadi seorang isteri, kemudian hamil, dan menjadi seorang ibu. Memegang watak sebagai wanita berkeluarga memang memberi kesan emosi kepada Jue kerana ia impian Jue. Selalu kalau berlakon hamil, Jue suka feeling lebih (tertawa). Jue tak kisah pakai perut palsu tu sepanjang masa
sebab nak mendalami rasa sebagai wanita hamil.
 
RAPI: Bila sibuk bekerja, bagaimana Jue mencari masa untuk berehat dan bagaimana?
JUE: Jue lebih suka duduk di rumah berbanding nak keluar. Bagi Jue, rumah adalah kawasan privasi  Jue. Jue selesa dan lebih tenang apabila berada di rumah. Memang itulah terapi untuk Jue mengembalikan tenaga yang hilang dek sibuk bekerja. Jangan tak tahu, Jue suka masak. Bila tiada apa nak dibuat, Jue akan cipta resipi baru. Jue boleh masak masakan kampung dan suka bakar kek. Puding roti dan kek coklat adalah antara pemanis mulut yang selalu Jue buat dan olah resipinya.Biasanya kalau raya, keluarga dan teman-teman akan minta Jue buatlontong dan sambal udang.
 
RAPI: Ada buat senaman?
JUE: Memandangkan Jue dulu olahragawati sekolah, Jue memang aktif. Dulu main bola jaring dan hoki. Jue mempunyai tubuh yang mudah berotot jadi Jue kurang ke gimnasium. Jue lebih suka berenang kerana ia mudah. Macam mana sibuk sekalipun, Jue akan curi masa untuk berbasikal (mesin senaman) di rumah. Itulah senaman paling mudah yang boleh Jue buat di rumah untuk kekal cergas.
 
RAPI: Apa pendapat Jue tentang kesihatan? 
JUE: Jue tidak mengamalkan suplemen atau vitamin. Tambahan pula sekarang terlalu banyak pilihan, jadi tidak tahu mana yang sesuai dengan tubuh kita. Jue lebih selesa untuk mengekalkan
kesihatan secara alami sepertimendapatkan rehat dan tidur yang secukupnya. Jue juga kena cukup
makan, kalau tak mudah letih. Pengambilan suplemen hanyalah apabila betul-betul diperlukan iaitu
apabila jadual kerja sangat padat. 
 
RAPI: Jue amalkan sebarang diet?
JUE: Tidak. Jue sangat suka makan. Syukur kerana bentuk badan Jue sudah cukup elok. Jue mudah naik berat badan dan mudah turun. Jue makan untuk dapatkan tenaga. Jue kawal atas tujuan kesihatan. Jue tidak mengamalkan sebarang diet ketat.
 
RAPI: Apakah pengertian cantik buat Jue?
JUE: Jue rasa kecantikan itu datangnya dari dalam. Cantik luar adalah satu bonus, tetapi cantik dalam itu adalah yang sebetulnya.Bila kita sentiasa cantik dalaman,ia akan terpancar sendiri. Jika
petua lama pula, Jue amalkan jamu yang diminum bersama madu.Jamu yang dihasilkan sendiri oleh
arwah nenek Jue, tapi Jue dah berhenti mengamalkannya bila dah dapat bentuk tubuh yang diinginkan. Jue berterima kasih kepada ibu Jue sebab dialah yang banyak mengajar cara hidup sihat pada Jue. Jue amalkan air kosong, untuk kulit sentiasa lembap dan cantik. 
 
RAPI: Bagaimana Jue mendefinasikan kegembiraan?
JUE: Bagi Jue, bila Jue bersama keluarga dan orang-orang yang menyayangi Jue, itulah kegembiraan
yang tidak dapat Jue gambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula sekarang Jue sibuk menjaga Darwish Naufal, anak angkat Jue. Dialah permata hati Jue. Automatik boleh jadi gembira dan mengukir senyuman biar ketika itu dilanda masalah sekalipun. Kunci kegembiraan adalah bahagia dengan persekitaran kita. Jue juga tidak suka memandang serius segala gosip yang boleh buat Jue sedih. Jue belajar dari kesilapan dan nikmati hidup dengan buat perkaraperkara yang menggembirakan Jue. Itu sudah cukup. 
 
RAPI: Penampilan Jue di luar?
JUE: Jue seorang yang ringkas. Biasanya pakai kasual dan tidak keterlaluan. Jue sukakan cermin mata. Jue kurang bersolek, lebih suka wajah polos. Biasanya kalau keluar, cermin mata adalah sesuatu yang mesti ada. Oh, ya! Jue sudah menjadi duta untuk produk Syahirah selama dua tahun. Mungkin juga akan memperbaharui kontrak tetapi masih belum ada sebarang persetujuan antara kami.
 
RAPI: Idola Jue?  
JUE: Sudah tentu ibu Jue! Dia seorang yang kuat semangat dan bertanggung jawab terhadap keluarganya. Dialah penguat semangat Jue dan semua perkara tentang diri Jue memang dikongsikan dengannya. 
 
RAPI: Soalan bonus,lima perkataan yang menggambarkan tentang Jue Aziz?
JUE: Lasak, seronok, aktif, penyayang, dan berdikari. 
 
RAPI: Pesanan buat pembaca RAPI dan peminat?
JUE: Terima kasih buat semua peminat yang menyokong kerjaya Jue selama ini. Jue mampu berdiri kukuh dalam bidang ini kerana sokongan dan semangat kalian semua. Teruskan berdoa untuk kejayaan kita bersama.