Wajah yang cukup manis, petah berbicara dan sentiasa tampak bersemangat. Walaupun sentiasa berdepan dengan hidangan enak setiap kali memandangkan kerjayanya sebagai chef, beliau tetap mempunyai susuk tubuh menawan dan kecantikan tersendiri. Dari awal pertemuan kami memang tidak sabar berkongsi rahsia dengan chef yang kami gelarkan ‘chef cantik’ ini. Jom kita kongsikan apakah rahsia pemilik nama Anis Nabilah Umaruddin, 27, kekal langsing dan cantik.

 

 

Rahsia badan langsing

 

RAPI:  Hai Anis, boleh anda kongsikan rahsia langsing anda dengan kami?

CHEF ANIS:  hai sudah tentu boleh. Lagipun saya memang suka berkongsi ilmu pengetahuan dengan wanita-wanita di luar sana. Untuk pengetahuan anda, saya mula melibatkan diri dengan Yoga sejak dua tahun lalu setelah didorong oleh kakak saya yang juga seorang instruktor Yoga. Pada mulanya saya mencuba tapi ternyata saya sudah mula jatuh cinta dengan Yoga. Ia juga memenatkan tetapi tidak penat seperti sukan yang lain kerana tenaga keluar hanya kerana banyak regangan dan teknik pernafasan dilakukan. Dengan Yoga, saya rasa lebih berstamina dan badan lebih ringan di samping lebih mahir dengan fungsi otot-otot badan. Saya dapat rasakan sejak saya melibatkan diri dengannya, saya mampu mengekalkan bentuk dan berat badan.

 

RAPI:  Ceritakan pengalaman anda ketika mula-mula melakukannya. Adakah ia menyakitkan?

CHEF ANIS:  Mula-mula belajar, saya banyak guna tangan dan kaki, bukan tenaga. Kerana itu saya pasti terasa sakit selepas melakukannya. Keadaan sakit itu menunjukkan kita telah gunakan teknik yang salah ketika melakukan Yoga. Tiada siapa yang boleh mengajar bagaimana untuk mengelakkan sakit tersebut tetapi anda akan pelajarinya sendiri dari hari ke hari lebih-lebih lagi jika anda konsisten melakukannya. Kini, saya tidak lagi berasa sakit selepas Yoga!

 

RAPI:  Adakah anda pernah mengalami masalah berat badan?

CHEF ANIS:  Saya juga pernah mengalami masalah berat bdan disebabkan pengambilan steroid kerana kesihatan tidak mengizinkan sehingga berat badan naik mendadak. Sejal itu saya mula berdiet dan melakukan Yoga. Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan berat badan yang diinginkan. Tetapi, kini saya terpaksa berehat seketika daripada melakukan Yoga kerana kecederaan lengan yang dialami. Saya dapatkan rasakan badan saya berat walaupun berat saya tidak bertambah. Sementara lengan saya pulih, saya lakukan senaman kardio dan berdiet. Yang pasti, saya akan kembali aktif melakukan Yoga kerana  minat dan yakin dengan manfaatnya.

 

 

RAPI:  Sebelum berpisah, apakah pesanan khas anda untuk pembaca RAPI?

CHEF ANIS:  Tidak salah jaga pemakanan tetapi jangan elakkan waktu makan. Tidak perlu tahan makan kerana ia boleh membuatkan badan tidak berkembang dengan sihat. Jika boleh, masak sendiri di rumah kerana anda dapat mengawal jumlah dan jenis bahan yang digunakan. Semuanya bergantung kepada niat dan azam. Anda juga perlu bijak menguruskan masa. Tidur yang cukup, makan tepat pada masanya dan senaman ringkas wajib dilakukan setiap hari tanpa alasan.

 

Untuk dapatkan lebih info temubual kami bersama Chef Anis, jom dapatkan Majalah RAPI isu 15 Ogos di pasaran sekarang!

 

Menarik Bulan Ini

 

Isu kali ini membawakan pelbagai info terkini dan menarik seperti 10 langkah mudah untuk kaki cantik dan langsing, tip untuk kekal kurus tanpa perlu berlapar, langsing dengan Muay Thai dan banyak lagi. Khas buat anda yang bergelar ibu, dapatkan juga info penyusuan ibu eksklusif yang dapat menyelamatkan anda. Ketahui juga bagaimana kaedah terbaru untuk ketatkan vagina anda. Pelbagai tip kecantikan seperti Oxygen Facial dan kepentingan anda melakukannya turut dimuatkan di dalam RAPI isu 15 Ogos! Dapatkannya sekarang!