Memendam perasaan berbulan lamanya sebelum penulis mendapat keberanian untuk menyuarakan keinginan menjadikan Abby sebagai cover girl kepada Editor  RAPI. Alhamdulilah, setelah cadangan penulis diterima, inilah hasil kerja penulis, penata gaya, dan juru foto untuk kali ini. Semoga kalian sukakannya... 
 
RAPI: Hai Abby! Boleh ceritakan serba sedikit mengenai diri Abby? 
ABBY: Hai! Tak ada masalah. Nama sebenar Abby adalah  Arbaiah Ahmad Nadzri. Abby sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Abby berasal dari  Kuala Lumpur dan merupakan anak kelima dari enam beradik.Abby dilahirkan pada 18 Ogos 1982. Tahun ini genaplah usia Abby 30 tahun. Suami Abby adalah Rozario Gulam Rasul. Permata hati kami adalah Aryan Danish, empat tahun dan Samara Danish, dua tahun. 
 
RAPI: Apa perkembangan terbaharu Abby?
ABBY: Sekarang Abby sibuk  mengusahakan perniagaan keluarga. Ada beberapa tawaran berlakon dan mengacara, tetapi masih belum ada sebarang kata putus antara Abby dan mereka. Dahulu Abby berhenti sekejap dalam bidang seni kerana anak-anak masih kecil. Jadi banyak masa Abby dihabiskan untuk keluarga. 
Sekarang mereka sudah besar  sedikit, jadi Abby pun sudah kembali aktif. 
 
RAPI: Ramai yang tidak  tahu macam mana Abby boleh terlibat dengan bidang seni. Boleh Abby kongsikan pengalaman Abby?
ABBY: Dahulu Abby belajar di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) dalam pengajian Diploma Teater. Sebenarnya Abby sudah mula berlakon teater sejak berumur tujuh tahun lagi untuk Tunas Budaya. Sekitar tahun 2005-2006, Abby ada mengacara untuk rancangan Pop Bollywood dan Salam Bollywood di Astro. Selain  itu, Abby turut mengacarakan rancangan Mango TV di TV 3 dan Bintang RTM tahun 2007. Dari situlah semuanya bermula. 
 
RAPI: Sebagai seorang pelakon, sudah tentu  Abby ada teringin untuk melakonkan watak-watak tertentu? 
ABBY: Ya, betul. Abby teringin untuk memegang watak yang banyak bermain dengan emosi dalaman. Bukan mudah untuk  menghayati watak sebegini. Selain
itu, Abby teringin juga mahu berlakon dalam cerita aksi. Dua-dua watak ini tidak pernah lagi Abby cuba. Bagi Abby kedua-dua watak ini sangat mencabar bukan
sahaja memerlukan kekuatan emosi tetapi persediaan fizikal. 
 
RAPI: Selain sibuk bekerja, Abby juga banyak menghabiskan masa menguruskan keluarga. Bagaimana Abby membahagikan masa untuk kedua-duanya?
ABBY: Macam mana sibuk pun Abby dengan kerja, keluarga adalah keutamaan Abby. Sebelum keluar bekerja, Abby akan pastikan keperluan suami dan anak-anak tersedia rapi. Baharulah Abby keluar rumah. Abby tidak nafikan, kebanyakan dari masa Abby adalah bersama keluarga. Kalau Abby sibuk bekerja, suami banyak membantu. Syukur, Abby mempunyai seorang suami yang sangat membantu dan supportive.
 
RAPI: Apakah terapi sihat yang Abby amalkan?
ABBY: Abby amalkan urutan tradisional. Sebelum berkahwin dahulu pun, memang sudah Abby amalkan. Paling tidak sebulan sekali, mesti kena berurut. Abby tidak ke spa tetapi ada seorang makcik yang akan datang ke rumah untuk mengurut Abby. Itulah cara Abby, sejak zaman bujang dahulu.
 
RAPI: Bagaimana dengan aktiviti kecergasan?
ABBY: Abby memang seorang yang aktif. Abby suka berjoging atau bermain boling. Dahulu ketika zaman sekolah, Abby merupakan bekas olahragawati dalam  sukan balapan. Memandangkan sibuk bekerja, masa untuk joging memang terhad. Walaupun tidak selalu, Abby akan cari masa untuk melakukannya. 
 
RAPI: Apakah pengertian cantik dan sihat buat Abby?
ABBY: Abby percaya kecantikan itu datangnya dari dalam. Apabila seseorang wanita sentiasa ikhlas dan positif dalam kehidupannya, maka kecantikan itu akan
terpancar dengan sendirinya. Sihat pula adalah apabila kita tidak sakit dan sentiasa cergas. Abby sendiri mengamalkan suplemen untuk mengekalkan kesihatan. Sebut sahaja, segala jenis vitamin Abby amalkan (katanya sambil tertawa). Abby jarang sekali ambil minuman manis dan banyakkan pengambilan air masak. Abby juga mengamalkan oat dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur.
 
RAPI: Bahagian pada tubuh yang paling disukai? Boleh kongsi dengan kami alat solek kegemaran Abby?
ABBY: Abby bersyukur dengan setiap apa yang ada pada Abby. Semuanya Abby suka! Bercerita tentang solekan, Abby seorang yang ringkas dan jarang bersolek.
Namun bagi mengelakkan tampak pucat, Abby suka pakai pemerah pipi dan maskara. 
 
RAPI: Apakah kebahagiaan bagi Abby?
ABBY: Abby berkahwin pada tahun 2007. Pada ketika itu Abby sudah mulai berasa bahagia apabila mempunyai keluarga sendiri. Kemudian perkahwinan kami dianugerahkan dengan dua cahaya mata yang amat kami sayangi. Itu membuatkan Abby bertambah bahagia. Kebahagiaan bagi Abby adalah apabila saya bersama suami dan anak-anak. Sebelum mendirikan rumah tangga pun, Abby adalah seorang yang sangat menyayangi keluarga. Abby lebih suka duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama mereka semua. Pada Abby, kebahagiaan begitu sukar digambarkan dengan kata-kata. Hanya boleh dirasai dengan perasaan. Abby sangat mencintai keluarga Abby. Merekalah kebahagiaan Abby. 
 
RAPI: Sekiranya Abby bukanlah seorang pelakon dan penggiat seni, siapakah Abby hari ini? 
ABBY: Mungkin anda semua akan mengenali Abby sebagai ahli sukan! Sebab Abby memang suka dengan sukan. 
 
RAPI: Soalan bonus, apakah barangan yang wajib ada di dalam beg tangan Abby Nadzri?
ABBY: Sudah tentulah beg duit, telefon bimbit, tisu, dan hand sanitizer.
 
RAPI: Pesanan buat pembaca RAPI dan peminat? 
ABBY: Buat semua pembaca RAPI, teruskan membaca majalah ini dan amalkan gaya hidup sihat selalu. Jagalah kesihatan anda kerana ia bukan sahaja untuk hari ini, tetapi selamanya. Terus setia dengan majalah kesihatan ini dan terima kasih kepada RAPI kerana memilih Abby untuk ruangan Profil kami ini. Jangan serik panggil Abby lagi ya! (sempat Abby berseloroh). Buat peminat Abby, terima kasih atas sokongan kalian dan teruskan memberi semangat kepada Abby. Doakan kejayaan Abby juga. 
 
 
TRIVIA
  • Abby suka makan sushi salmon.
  •  Menurut Abby, dia akan bersedih sekiranya berjauhan dengan keluarga.
  • Abby amat meminati filem-filem lakonan Johnny Depp kerana menurutnya pelakon itu versatil. Filem Depp yang baharu ditontonnya tidak lama sebelum sesi fotografi ini diadakan adalah The Tourist.
  • Kalau berpiknik, Abby merasakan kamera dan makanan yang banyak HARUS ada!
  • Warna yang mendamaikan buat Abby adalah merah jambu dan merah.
  • Jika anda tidak tahu, Abby adalah adik kepada pengarah terkenal, Ahmad Idham. Apabila kami bertanyakan tentang abangnya, “Dia seorang abang yang cool," begitulah kata Abby.