Memakan buahan segar, sama ada dimakan mentah atau dibuat jus ternyata berkhasiat kepada badan selain dapat membantu menyembuhkan beberapa penyakit atau gejala kesihatan yang lain. Tetapi tahukah anda terdapat kombinasi-kombinasi buah yang sesuai untuk merawat masalah kesihatan yang anda hadapi?

 

Sebagai contoh anda boleh menggabungkan beberapa jenis buah untuk mendapatkan khasiat daripada buah-buahan tertentu ini.

 

Lobak Merah +Epal Hijau+Pear+Mangga

Membuang toksik, menurunkan tekanan darah tinggi dan melawan pengoksidaan

Pear+ Pisang

Mengawal kandungan gula dalam badan

Nenas+Epal Hijau+ Tembikai

Membuang garam berlebihan, menyihatkan pundi kencing dan ginjal.

 

Memahami cara mengkombinasikan pelbagai jenis buah serta sayuran untuk membuatkan jus adalah penting kerana jika tersalah, anda mungkin akan mendapat masalah pencernaan pula. Di sini kami nak kongsikan beberapa tip berkesan untuk membantu anda membuat jus kesihatan buatan sendiri.

 

Pilih jenis buah yang sesuai

Sememangnya waktu pagi merupakan waktu paling sesuai untuk minum jus kerana ia dapat membantu proses pencernaan. Namun harus diingatkan bahawa pilihan buah-buahan masam pagi hari adalah tidak sesuai kerana kandungan asid yang terdapat pada buah-buahan itu mudah membuatkan anda sakit perut. Pisang dan betik menjadi pilihan buah yang tepat untuk kombinasi jus anda pada pagi hari.

 

Sayur-sayuran

Bila sebut sahaja jus, tidak semestinya hanya buah-buahan yang boleh digunakan. Sayur-sayuran juga boleh dibuat jus walaupun bukan semuanya. Sayuran yang sesuai digunakan seperti saderi, mentimun, bayam dan peria katak. Untuk mengatasi rasa pahitnya, kombinasi sayur dan buah boleh dilakukan.

 

Epal Hijau + Timun + Saderi

Mencegah kanser, mengurangkan kandungan kolesterol, dan mengurangkan sakit perut serta sakit kepala.

Peria katak+ Epal Hijau + Susu

Menghindari nafas berbau dan berfungsi menurunkan panas dalam badan.

Oren + Halia+ Timun

Melembapkan kulit juga mengurangkan panas dalam badan.

 

Rempah

Bukan hanya sayur, rempah seperti kayu manis juga boleh dicampurkan dengan jus buatan anda ini. Cinnamon atau lebih dikenali dengan nama kayu manis dalam kalangan masyarakat Melayu mempunyai pelbagai kelebihan untuk merawat kulit secara semula jadi tanpa kesan sampingan berbahaya.

 

Buah yang segar

Untuk mendapatkan khasiat jus yang optimum, anda dinasihatkan untuk menggunakan buah-buahan yang segar. Janganlah kerana sayangkan buah yang sudah terbiar lama, baru dibuat jus. Khasiat serta kualiti asalnya pasti sudah berkurangan.  Jus yang telah dibuat sebaiknya diminum segera. Jika anda membiarkan jus yang telah dibuat terdedah kepada udara selama beberapa jam lamanya, vitamin yang terdapat di dalamnya akan menjadi rosak.

 

Meminum jus buah-buahan kombinasi ini membantu kita memperoleh manfaat serta khasiat dari pelbagai jenis buah tanpa memakannya satu persatu. Selain itu, jus juga akan membuat tubuh kita menyerap segala nutrisi dengan mudah. Selepas ini, si cantik di luar sana bolehlah mencubanya. Di samping dapat mengawal rasa jus yang diinginkan, ia juga sudah terjamin bersih dan halal dengan hasil buatan tangan.  Jadikan amalan minum jus setiap hari sebagai satu amalan gaya hidup yang sihat.