Weight training atau latihan beban adalah aktiviti terbaik untuk mencantikkan tubuh. Dahulu, ramai wanita takut mengangkat beban kerana khuatir bentuk badan akan menjadi seperti lelaki. Namun setelah faham fakta sebenar, wanita tidak mahu kalah dalam latihan ini. Masing-masing tidak lagi segan mengangkat dumbel dan barbel ketika berlatih di gim. Semuanya berpaksikan kepada satu keinginan iaitu mengekalkan bentuk badan yang cantik dan mantap.


Latihan angkat beban amat berkesan untuk meningkatkan prestasi seseorang dalam aspek kekuatan, otot, kuasa otot, dan daya tahan otot. Di samping itu, latihan angkat beban mampu menambahkan saiz otot dan membuang lemak badan sekiranya mengikut kaedah latihan, diet yang betul serta rehat yang mencukupi.

Otot-otot utama yang sering diberikan fokus bagi latihan angkat beban seperti:
•    Biceps
•    Triceps
•    Forearm
•    Deltoid
•    Trapezius & Back
•    Lattisimus Dorsi
•    Pectorolis Major
•    Rectus Abdominis
•    Gluteus
•    Quadriceps Hamstring
•    Gastrocnemius


Terdapat beberapa istilah yang lazim digunakan dalam latihan angkat beban seperti ulangan, set, intensiti dan tempo.
Ulangan bermaksud fasa lengkap perbuatan mengangkat, menarik atau menolak beban. Set merujuk kepada jumlah ulangan tertentu mengikut objektif latihan sama ada untuk kekuatan otot, besarkan otot, daya tahan otot, stamina, membakar lemak atau sekadar mengekalkan kecergasan tubuh. Terdapat tiga kumpulan set dengan tiga objektif yang berbeza:
1.    Kekuatan : Set yang melibatkan intensiti 80-90% daripada beban maksimum dengan ulangan 2-6 kali.
2.    Kekuatan dan besarkan otot : Set yang melibatkan 70-90% daripada beban maksimum dengan ulangan 6-12 kali.
3.    Daya tahan otot dan stamina: Set yang melibatkan 40-60% daripada beban maksimum dengan 12-24 kali.

Intensiti pula adalah rintangan atau kerja yang perlu diatasi oleh otot sama ada jumlah berat bebanan dan waktu rehat antara ulangan atau set.
Tempo merupakan masa yang diambil ketika melakukan setiap fasa ulangan yang melibatkan gerak esentrik, rehat dan konsetrik.

Bentuk Latihan
Setiap individu berbeza bentuk latihannya. Banyak faktor fisiologi yang mempengaruhi kesan latihan seseorang seperti jenis otot, kadar hormon, metabolisme, umur dan jantina. Terdapat pelbagai bentuk latihan yang disusun melalui kajian dan pemerhatian dalam menjana kekuatan, membesarkan otot dan menambahkan daya tahan otot. Antaranya seperti; Drop Sets, Super Sets, Giant Sets, Pyramid Sets, Split Training dan lain-lain lagi.

Pentingnya Diet Dan Rehat
Hal yang penting selain melakukan latihan mengangkat beban ini ialah diet dan rehat yang mencukupi. Pengambilan nisbah kelas makanan mestilah dalam nisbah yang tepat antara karbohidrat, protein dan lemak.

Apapun setiap pengambilan diet mestilah merujuk kepada jumlah kalori harian bagi setiap individu. Bagi memastikan otot dapat dibina dan diperbaiki dengan sempurna, rehat yang secukupnya amat perlu kerana otot bukan dibina ketika makan atau sedang melakukan latihan tetapi sewaktu seseorang itu tidur dan rehat dengan sempurna.