Sudah menjadi norma biasa kita akan makan sesuatu apabila berada di hadapan komputer. Mungkin anda juga sedang mengunyah ketika membaca entri ini? Daripada anda beli makanan-makanan yang tidak menyihatkan untuk makan tengah hari atau snek minum petang di pejabat, apa kata penuhkan laci meja dengan sesuatu yang boleh anda ‘gabungkan’ menjadi makanan yang enak? Tak perlulah keluar makan, jimat masa dan tenaga kan? Keri Gans, R.D., pengarang buku The Small Change Diet berkongsi idea tentang ‘stok makanan’ yang perlu ada, jika tiba-tiba perut berbunyi kelaparan.

 

Roti gandum penuh

Sandwic adalah yang plaing mudah untuk disediakan. Usah makan roti kosong, tetapi letaklah sesuatu pada roti anda untuk menyediakan makan tengah hari yang ringkas, dan pantas!

 

Yogurt rendah lemak

Boleh dimakan begitu saja. Snek yang sihat kan? tetapi jika anda masukkan buah-buahan atau kekcang di dalamnya, ia akan menjadi hidangan tinggi nutrisi. Boleh buat banyak sedikit, sebagai bekalan untuk makan malam pula.

 

Tuna atau ayam dalam tin

Makanan-makanan ini tidak perlu dimasak, jadi ia mudah disediakan. Pilihlah jenis tuna atau ayam yang dipaketkan dalam air berbanding minyak kerana ia lebih rendah kalori. Letakkan sedikit mustard atau mayones dan nikmati dengan roti gandum penuh anda. Nah, siap!

 

Badam atau mentega kacang

Kekacang merupakan sumber protein, yang membuatkan anda lebih bertenaga. Terpulang mana satu pilihan anda, sama ada mahu dicampurkan ke dalam yogurt atau dinikmati bersama roti. Tapi ingat, jangan makan berlebihan pula ya kerana makanan-makanan ini juga mengandungi kandungan kalori.

 

Buah-buahan

Selain dijadikan snek, buah-buahan boleh dijadikan hidangan versatil apabila dicampurkan ke dalam yogurt. Selain itu, anda boleh makan buah bersama roti. Bayangkan mentega kacang dimakan bersama pisang? Sedapnya!

 

*Siapa kata makanan sihat tidak sedap? Anda perlu menjadi lebih kreatif dan mulakan langkah pertama untuk mengubah diet harian anda. Jangan pernah katakan Tidak! pada diet. Jika betul pada caranya, hidangan sihat lebih enak daripada makanan yang selalu anda makan.