Pernahkah anda dengar tentang Snail Cream? Tidak tahulah berkesan atau tidak untuk kulit kita, tetapi Snail Cream ini semakin popular akhir-akhir ini. Ia mula diperkenalkan di Korea sebagai salah satu produk untuk mengatasi pelbagai jenis masalah kulit. Jom kita ketahui serba sedikit tentangnya.

 

Snail cream ini biasanya didatangkan dalam bentuk krim dan ia diberi nama snail cream atau krim siput disebabkan bahan utamanya, ekstrak lendir daripada siput atau secara saintifik dikenali sebagai Helix Aspersa Muller Glycoconjugates. Siapa sangka lendir siput pun boleh buat produk cantik kan, orang Korea dah menemuinya.

 

 Kebanyakan syarikat yang menghasilkan produk snail cream ini mendakwa bahawa siput telah digunakan untuk penjagaan kulit sejak berkurun lamanya oleh Hippocrates iaitu salah seorang pakar perubatan Yunani yang terkenal pada zamannya. Beliau juga digelar sebagai “Bapa Perubatan” .

 

Ia dikatakan boleh menghilangkan strechmark, bekas jerawat, bekas luka, jahitan, gigitan serangga dan pelbagai jenis parut. Selain berfungsi sebagai antioksidan atau radikal bebas , ia juga sesuai digunakan untuk semua jenis kulit dan semua umur. Bukan itu sahaja, krim ini turut membantu memperbaiki tisu yang rosak dan mengecilkan liang roma pada wajah. Wah, nampak menarik.

 

Namun terdapat beberapa isu yang timbul berkaitan krim ini. Antaranya pengguna hanya akan nampak kesan atau perubahan dalam masa sekurang-kurangnya satu bulan. Mungkin tempoh itu agak lama jika ditanyakan kepada kami. Aturan penggunaan pula standard seperti produk lain, iaitu dua kali penggunaan setiap hari.

 

Meskipun banyak manfaat yang dikatakan boleh didapati untuk produk ini, sebagai pengguna kita seharusnya sentiasa berhati-hati dan jangan sampai terbeli produk tiruan. Jika anda berhasrat untuk mencubanya, anda dinasihatkan untuk memeriksa label kandungan Snail Cream dan perkara berikut:

 

·         Lihat kandungan ekstrak utama snail mucin adalah 70% atau lebih.

·         Pilihlah jenis yang bersesuaian dengan jenis kulit anda.

·         Lihat perbandingan produk asli dan tiruan terlebih dahulu.

·         Pastikan memilih pengeluar produk yang dipercayai.

 

Setakat ini kami dengar, ramai yang mendakwa Snail Cream membantu mereka kurangkan kesan parut, mengecilkan liang roma serta cepat dalam mengecutkan jerawat. Krim ini boleh didapati oleh jenama pengeluar seperti Etude House, Eilicina, The Skin Shop, Missha, Nature Republic dan It’s Skin. Jadi bagi mereka yang inginkan kulit wajah seperti Katie Holmes silakan, sebab aktres ini juga dikatakan guna krim siput di wajahnya.