Wah, sebut sahaja artis Korea, semua membayangkan betapa halus, mulus, putihnya kulit mereka. Bagi anda yang merupakan peminat tegar drama-drama Korea pasti sudah lama mendambakan kulit wajah seperti pelakon serba boleh Song Ji Hyo, Ha Ji Won, Suzy dan ramai lagi. Mungkin ada yang bertanggapan mereka memang dilahirkan dengan kulit begitu. Eh, itu salah! Mereka juga memiliki kulit normal seperti mana kita semua.  Akan tetapi cara penjagaan kulit yang diamalkan membantu mereka mendapatkan kulit sebegitu sihat dan cantik. Ingin tahu rahsianya?

 

 

Produk penjagaan kulit

Ha, kalau nak tahu, produk penjagaan kulit di sana memang sangat popular. Tidak hairanlah mereka mempunyai kulit halus mulus dan cantik. Tetapi jika tidak menggunakannya dengan teratur juga tiada memberi sebarang kesan. Apa yang menariknya ialah, bukan sahaja wanita, malah lelaki turut mengambil berat soal kesihatan dan kecantikkan kulit. Penggunaan produk kecantikan kulit dijadikan sebagai disiplin harian.

Penggunaan BB Cream ketika keluar dari rumah adalah satu kemestian. Hal ini kerana ia mampu melindungi wajah anda ketika terdedah kepada cuaca luar yang tidak menentu. Selain itu, rajin-rajinkanlah untuk memakai masker pada wajah ketika berada di rumah. Pelbagai jenis  masker sesuai mengikut keadaan kulit anda kini banyak terdapat di pasaran juga di kedai-kedai menjual produk khas dari Korea seperti Etude House, The Face Shop dan banyak lagi. Ramai kaum wanita mahupun lelaki Korea mengamalkan pemakaian masker pada setiap hari!

 

Air yang banyak

Bukan artis Korea sahaja, malah, ramai yang sudah tahu mengenai kepentingan air di dalam tubuh badan manusia. Air secukupnya mampu membuatkan anda lebih sihat dan mendapat kulit lebih cantik. Tanpa air yang cukup, kulit akan menjadi kering dan ia tidak baik untuk kesan jangka masa panjang. Hal ini kerana kulit anda akan menjadi mudah berkedut dan anda akan kelihatan lebih tua daripada usia sebenar. Wow, menakutkan! Jadi si cantik semua, jangan sesekali tinggalkan air anda. Minumlah setidak-tidaknya dua liter air setiap hari. Lebih banyak, lebih baik.

 

Mata menawan

Umum mengetahui tentang mata warga Korea yang sepet dan kecil. Satu cara untuk mengatasi kelemahan itu adalah menggunakan eyeliner sebagai senjata utama. Cuba anda perhatikan mata penyanyi terkenal di Korea, Lee Hyori. Penggunaan eyeliner yang betul mampu membuatkan matanya tampak lebih menawan dan bersinar. Wanita Korea juga jarang memakai eyeshadow dengan warna yang pelbagai. Mereka lebih suka menggunakan satu warna sahaja pada satu-satu masa dan kebanyakkan warna yang digunakan adalah warna pastel. Hal ini bertujuan agar eyeliner yang dipakai akan tampak lebih menonjol.

 

Perawatan wajah

Wanita Korea bukan sahaja menjaga wajah menggunakan produk kecantikan semata-mata. Mereka juga mengamakan pelbagai makanan kesihatan berasaskan herba, sayur-sayuran juga buah-buahan. Makanan harian mereka juga jarang digoreng sebaliknya direbus, dan distim agar kandungan nutrisi pada makanan tidak hilang. 

Bukan itu sahaja, mereka juga akan berjumpa terus dengan doktor pakar kulit jika terdapat masalah berkaitan kulit yang timbul. Malah, ada juga yang sudah mengatur perjumpaan dengan doktor kulit pada setiap bulan demi memastikan kulit mereka sentiasa berada di dalam keadaan yang sihat dan terbaik.

 

Isu kecantikkan kulit di Korea dianggap penting seolah-olah melambangkan keperibadian seseorang itu. Perkara ini sebenarnya boleh dijadikan ikutan buat kita kerana dengan kulit wajah yang cantik, secara tidak langsung mampu membuatkan kita berasa lebih yakin dalam menempuh hari-hari mendatang.