Nak cantik ni, kenalah rajin. Sesetengah wanita mempunyai kulit yang sensitif dan menyebabkan mereka khuatir untuk mencuba pelbagai rangkaian produk kosmetik yang ada di pasaran.

RAPI sarankan anda untuk mengamalkan beberapa petua orang lama ini bagi memelihara kesihatan dan kecantikan kulit anda.

Hilangkan Tahi Lalat


Ambil nanas dan limau purut yang telah dikisar bersama. Sapukan pada bahagian yang terdapat tahi lalat yang mahu anda samar. Lakukan secara rutin, 2-3 kali sehari sehingga ia gugur sendiri. Harus diingatkan amalan ini harus dibuat dengan disiplin dan perlu mengikut rutin.

Pudarkan Jeragat
Lemon dipercayai bermanfaat untuk memudarkan jeragat pada wajah. Potong lemon kepada dua bahagian dan perahkan jusnya ke dalam mangkuk. Celupkan kapas pada jus tersebut dan gosokkan perlahan-lahan tanpa tekanan dengan gerakan memutar. Biarkan seketika dan bolehlah dibilas.

Tomato Rawat Kulit Berminyak

 

Tomato mempunyai kandungan vitamin C yang baik untuk kulit. Kisar tomato hingga halus bersama sedikit air. Sebelum tidur, sapukan pada kulit wajah. Tepuk perlahan-lahan untuk memudahkannya diserap masuk ke kulit. Selain mengatasi masalah kulit berminyak, ia juga bertindak untuk menghaluskan kulit.

Betik Tanggalkan Sel Kulit Mati
Betik adalah antara bahan alami yang digunakan untuk mencantikkan kulit. Ia boleh menanggalkan sel kulit mati dan mengurangkan masalah jerawat. Lenyek betik (pastikan ia ranum) sehingga halus dan campurkan dengan air mawar. Kemudian lumurkan dan gosok perlahan pada wajah. Lakukan amalan ini setiap hari.

 

Rawat Mata Sembab


Gunakan ubi kentang yang segar untuk mengatasi masalah mata sembab. Hiris nipis ubi kentang dan letakkan potongan tersebut di atas mata selama beberapa minit.

Tidak hairanlah mengapa banyak produk kecantikan di pasaran yang menggunakan bahan semula jadi sebagai formula asas mereka. Ternyata bahan alami sangat baik bukan saja untuk kesihatan berkekalan bahkan untuk kecantikan seorang wanita. Selamat mencuba!