Sebenarnya semua orang mempunyai kulit yang berminyak cuma yang membezakan adalah sedikit atau banyak. Ini kerana kulit menghasilkan minyak yang berfungsi sebagai pelindung kulit daripada bahaya luar seperti pencemaran dan debu. Bahaya luar ini boleh menerobos masuk ke dalam pori-pori kulit yang menjadi pemangkin pertumbuhan jerawat.

Selain itu, minyak pada kulit berfungsi sebagai cairan yang mampu menjaga keremajaan kulit serta menjadikan kulit lebih kenyal. Namun, jika minyak di bawah kulit berlebihan, ia mewujudkan masalah baru dan mencacatkan penampilan. Wajah berminyak menangkap udara di sekitar dan memerangkap debu dan pencemaran di wajah. Kesannya pori wajah tertutup dan menyebabkan jerawat tumbuh.   

PUNCA WAJAH BERMINYAK

Makanan berlemak
Makanan yang mengandungi lemak jika diambil secara berlebihan menyebabkan berlaku penimbunan lemak di bawah kulit. Lemak di bawah kulit ini merangsang lebihan minyak sehingga menyebabkan kulit berminyak.

Hormon tidak seimbang
Wanita mengalami perubahan hormon dalam hidupnya ketika menstruasi, hamil dan menopaus. Perubahan hormon dalam badan merangsang penghasilan minyak yang berlebihan di bawah kulit.

Salah pilih kosmetik
Alat kosmetik mengandungi bahan kimia. Sebagai wanita, anda perlu berhati-hati memilih kosmetik. Jika kosmetik tersebut tidak sesuai dengan kulit, ia boleh menyebabkan kulit berminyak, iritasi dan kulit wajah sensitif.  

Genetik
Cuba perhatikan wajah kedua ibu bapa dan adik- beradik yang lain. Jika kebanyakan daripada mereka memiliki wajah yang berminyak ini bermakna faktor keturunan. Faktor ini tidak boleh dicegah tetapi boleh diatasi.

Ubat-ubatan
Jika anda berada dalam pemantauan doktor dan perlu makan ubat-ubatan, kulit berminyak mungkin datang daripada pengambilan ubat-ubatan ini.

Stres
Sebagai tindakbalas terhadap stres, tubuh menghasilkan minyak berlebihan dan membuat wajah nampak berkilat dari jauh.

TUJUH CARA ATASI KULIT BERMINYAK

Setelah dikenalpasti apakah punca yang menyebabkan kulit berminyak, cuba atasi masalah ini dengan cara yang berkesan. Boleh mencuba cara ini untuk mengatasi pengeluaran berminyak berlebihan di bawah kulit.

1. Mencuci muka
Menjaga kebersihan muka sangat penting. Sebaik-baiknya cuci muka dengan pembersih yang bersesuaian dengan kulit. Bagi mengelak minyak yang berlebihan, cukup dengan hanya membersih wajah dua kali sehari. Jika kerap membersih wajah, ia akan mengikis lapisan kulit wajah. Tindakan membersih wajah secara kerap ini juga membahayakan kulit yang sering terdedah kepada cahaya matahari.

2. Minum air kosong
Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari. Minum air dengan banyak boleh menjaga metabolisme tubuh. Tubuh yang mengandungi banyak air boleh memberi kelembapan dan menghalang penghasilan minyak berlebihan.
 
3. Air suam
Celup tuala muka yang bersih ke dalam air suam yang sudah dicampur sedikit garam. Tekap secara perlahan-lahan ke wajah dan biarkan sehingga tuala tersebut sejuk. Air suam itu akan membuka pori wajah dan garam berfungsi mengangkat kotoran pada wajah.

4. Putih telur
Ambil putih telur dan gunakannya sebagai masker. Asingkan kuning telur dan putih telur. Pukul putih telur dan sapu di wajah serta biarkan kering. Bilas dengan air suam.

5. Pisang
Selain berfungsi untuk mengurangkan rasa sakit ketika menstruasi, pisang yang kaya dengan vitamin A, B dan E juga berfungsi sebagai anti penuaan. Kisar pisang dan tekap di wajah yang telah dicuci. Jika kulit wajah berjerawat, tambah sedikit madu untuk meyingkirkannya.

6. Lemon
Lemon mengandungi vitamin C yang membantu kulit lebih cerah dan menyingkirkan bekas jerawat. Perah air lemon kemudian tambah madu dan tekap di wajah. Jika mahu kesan yang lebih, minum air lemon suam yang ditambah madu untuk membersihkan kulit daripada dalam.

7. Asid Salicylic
Boleh juga menggunakan asid salicylic untuk kesan yang lebih cepat. Asid ini berfungsi untuk mengeluarkan kelenjar produksi minyak dan folikel serta mengurangkan jumlah minyak yang dikeluarkan oleh kulit. Ketika membeli pembersih wajah atau krim muka, pastikan produk tersebut mengandungi asid ini. Asid salicylic juga dikenali sebagai 2-hydroxybenzoic acid.


*Saranan Rapi*
Jika keluar rumah, pastikan anda memakai krim pelindung matahari untuk melindungi kulit. Pilih krim tabir suria dengan SPF 30 atau lebih.