Bentuk, saiz, material, dan corak. Semua faktor  ini mempengaruhi seseorang wanita untuk membeli beg tangan. Sesetengah orang memilih jenama, tapi ada juga yang sukakan keselesaan. Apa pilihan anda? Biar seringkas manapun penampilan anda, beg tangan wajib ada. Entri kali ini memperkenalkan beberapa jenis beg tangan dan cara penggayaannya.

1. TOTE
Ia bersaiz besar dengan rekaan open-top bertali panjang (paras bahu) atau pendek (genggam tangan). Lazimnya ia diperbuat daripada kain atau lain-lain material lembut.

TIP PENGGAYAAN:
Tas tangan ini sesuai dibawa saat keluar bersantai atau melakukan rutin-rutin Lazim seperti membeli-belah.

2. BEG GENGGAM
Beg yang bersaiz kecil (seperti dompet) yang biasanya digayakan bersama busana formal.

TIP PENGGAYAAN:
Dengan variasi rekaan beg genggam yang ada di pasaran ketika ini memungkinkan ia dikenakan bukan sahaja di acara rasmi atau majlis malam, tetapi juga ke pejabat mahupun sebagai pelengkap gaya harian. Pun begitu, perlu bijak memilih material dan perinciannya agar tidak kelihatan berlebihan.

3. SATCHEL
Mempunyai tali yang panjang dan popular digayakan secara selempang di bahu. Tas tangan ini cukup ideal bagi remaja atau ke acara santai.

TIP PENGGAYAAN:
Sarungkan celana denim dengan blaus berserta sepatu sukan, oxford ataupun sandal untuk gaya ringkas dan ranggi sesuai dengan imej tas tangan satchel.

4. HOBO
Rekaannya berbentuk semi bulan (half moon) dengan tali bahu sederhana panjang. Lazimnya, ia dihasilkan dengan material yang lembut.

TIP PENGGAYAAN:
Tas tangan ini cukup serasi dengan busana dengan gaya bohemian. Boleh juga dikenakan dengan celana kasual atau skirt labuh.

5. MESSENGER
Direka dengan tali silang yang panjang dan penutup flap-over. Didapati dalam siapan kulit atau material lembut. Rekaannya terinspirasi daripada tas tangan pekerja kurier atau posmen. Untuk lebih bergaya, ia diubahsuai dengan perincian dan warna yang pelbagai.

TIP PENGGAYAAN:
Ia boleh digayakan secara selempang silang di bahu. Jika memilih tas tangan messenger daripada material kulit, ia boleh dibawa ke pejabat atau acara separa rasmi.

6. SHOULDER BAG
Ini antara tas tangan paling lazim menjadi pilihan wanita masa kini. Ia bersaiz sederhana besar atau kecil dengan satu atau dua tali (double strap) yang tidak terlalu panjang. Ia hanya akan disangkut kemas di sebelah bahu.

TIP PENGGAYAAN:
Rekaannya yang versatile cukup sesuai digayakan pada semua acara kasual atau separa rasmi. Tas tangan seperti yang bersaiz besar mampu melahirkan aura classy andai disuaikan dengan pemakaian celana denim dan sepatu tumit tinggi.

7. BAG PACK
Sesuai buat anda yang sedikit lincah dan lasak. Terdapat dua tali di bahagian belakangnya dan anda boleh sarungkan di bahagian belakang. Ada yang bersaiz besar dan sederhana besar. Ruang dalamnya cukup luas dan sesuai buat anda yang gemar memasukkan apa jua barang di dalamnya.

TIP PENGGAYAAN:
Gayakan dengan sepasang sneakers, anda pasti kelihatan lebih bergaya.