Kulit lembap adalah tanda kulit yang sihat dan cantik. Sebagaimana yang diketahui, tubuh manusia terdiri daripada 70 peratus air. Kulit yang sihat hanya diperolehi apabila mempunyai kelembapan yang diperlukan. Jika kurang air dalam tubuh maka kulit akan kering dan tidak bermaya. Secara tidak langsung, ia akan mempengaruhi penampilan seseorang.

Sebagai seorang wanita yang menjaga kecantikan diri, anda perlu peka tentang kelembapan kulit sendiri. Kulit wajah yang lembab adalah kunci kepada wajah yang lebih muda. Langkah paling penting ketika memilih produk kosmetik adalah memiliki bahan pelembap yang tinggi. Terlalu terdedah kepada cahaya matahari juga menjadi punca kulit mudah terhidrasi dengan cepat.   

Xtra!
Hidrat kulit dari dalam ke luar dengan minum sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas (1.5 hingga 2 liter) air setiap hari.

Bagaimana mengekalkan kelembapan kulit?

Topeng wajah
Selain pelembap, topeng wajah juga boleh membantu mengekalkan kelembapan kulit. Topeng wajah menyalur nutrisi kepada kulit sekaligus memberi kelembapan secara mendalam. Satu tip yang boleh dikongsi untuk wajah kekal lembap adalah mengurut wajah menggunakan ketulan ais selepas memakai topeng wajah.

Cukup air
Air merupakan elemen yang penting kepada tubuh dan kulit. Memilih air yang bersih dan mempunyai mineral sangat membantu untuk mengekalkan kelembapan kulit. Selain minum air putih, jus buah-buahan juga menyumbang cairan kepada tubuh. Jika kadar air mencukupi kulit secara tidak langsung kelihatan sihat dan segar.

Rajin membersih kulit
Demi memiliki kadar kelembapan yang mencukupi, apa yang perlu dilakukan adalah rajin dan teliti membersih kulit wajah. Bersihkan wajah dengan sabun yang sesuai dengan kulit dan bilas dengan air suam agar pori-pori wajah terbuka. Kemudian bilas semula dengan air yang sejuk agar pori-pori tertutup kembali.

Cukup tidur
Tidur merupakan salah satu kunci kecantikan kepada wanita. Tidur yang cukup dan berkualiti mempengaruhi kesihatan kulit. Tempoh tidur yang diperlukan untuk mendapatkan kulit yang sihat adalah di antara enam hingga lapan jam sehari.

Bersolek sederhana
Tampil sederhana dengan solekan nipis kerana bersolek tebal menjadikan kulit sukar bernafas. Lebih-lebih lagi apabila selepas bersolek dan tidak membersih solekan dengan sempurna akan meninggalkan sisa solekan. Sisa yang melekat di pori-pori wajah bakal mengundang masalah kulit seperti jerawat, kulit kusam dan pori-pori besar.


Rahsia kulit lembap
Serum atau minyak
Kini sudah tiba masanya untuk menukar rutin sebelum tidur. Sapu serum atau minyak zaitun sebelum tidur untuk menjaga kelembapan kulit wajah. Ketika bangun pagi, kulit akan terasa lebih anjal dan segar.

Krim tabir suria dengan pelembap ekstra
Sebaik-baiknya pilih krim tabir suria yang menyediakan pelembap yang ekstra. Perlindungan daripada cahaya matahari ini sangat penting untuk melindungi kulit. Kesan cahaya matahari ini bukan sahaja boleh menghilangkan kelembapan kulit malah boleh menyumbang kepada jeragat dan noda hitam.

Losyen tubuh yang baik
Ramai wanita yang memilih losyen badan kerana aroma berbanding fungsinya. Semua orang perlu peka fungsi losyen adalah memberi kelembapan. Pastikan losyen yang dipilih berkualiti dan mampu memberi kelembapan kepada kulit dalam tempoh yang lama.
 
Bedak asas
Bedak asas yang datang dalam bentuk krim boleh membantu mengekalkan kelembapan kulit. Sapu bedak asas secara nipis kerana formula pelembap ekstra boleh mencantikkan kulit khususnya wanita asia.

Pengelupasan
Lakukan rawatan pengelupasan dengan lulur yang berasaskan minyak. Ini boleh membantu menyingkirkan sel-sel kulit yang mati dan membantu memelihara kondisi kulit agar tetap dalam keadaan lembap.

*Info
Jaga kulit bawah mata
Kekeringan yang terjadi pada kulit bawah mata mengundang kepada kulit wajah yang keriput. Cara paling mudah menjaga kelembapannya adalah dengan menggunakan krim mata secara teratur.