Apabila sebut sahaja perkataan stres, banyak dahi yang sudah berkerut, itulah penangan stres. Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada perkara ini seperti kesesakan jalan raya, dimarahi bos, kerja yang terlalu banyak dan boleh jadi juga putus cinta.

Stres boleh mengundang pelbagai jenis penyakit lain seperti darah tinggi, sakit jantung, diabetes, kemurungan, dan alzheimer. Jika anda tidak mahu jadi salah seorang yang menghidapnya, mari tangani stres dengan lima cara pantas.

Aroma lavender
Siapa di antara anda semua peminat lavender? Tahu atau tidak, selain dari baunya yang harum, lavender juga mempunyai banyak manfaat lain. Mengikut salah satu kajian di Jepun, bauan yang terdapat pada lavender dikatakan mampu menenangkan fikiran. Ia boleh memberikan kesan relaks dan santai dan kini lavender telah menjadi antara bahan popular untuk beberapa produk kecantikan dan kesihatan.

Layan muzik
Otak bercelaru? Inilah masa untuk dengarkan lagu favourite anda. Banyak pilihan muzik terkini pelbagai genre seperti Bruno Mars, 'If I Was Your Man',  hinggalah ke lagu-lagu evergreen seperti daripada kumpulan Backstreet Boys dan Westlife. Seeloknya pilihlah muzik yang tidak terlalu rancak kerana ia mungkin akan membuatkan fikiran anda lebih berserabut.

Kami terbaca kajian daripada University of Marylands yang mengatakan dengan mendengar muzik kegemaran, sistem peredaran darah akan menjadi lebih lancar serta aliran darah dapat ditingkatkan. Wah, ini bukan sahaja mampu menenangkan anda, tetapi baik untuk kesihatan jantung anda.

Resipi ketenangan
Inginkan sesuatu yang manis? Cubalah untuk buat beberapa resepi terbaru anda sendiri seperti pavlova, brownies, dan pelbagai lagi. Ini juga boleh dijadikan sebagai salah satu terapi untuk melupakan masalah yang dialami. Rasa manis pada makanan seperti coklat  juga dikatakan mampu meningkatkan kadar hormon Endorfin yang akan membuat kita merasa senang hati dan bahagia.

Lepaskan bebanan
Jangan salah sangka tau! Kami tidak maksudkan anda untuk lepas tangan terhadap masalah anda. Tetapi, normal bagi wanita ungtuk menangis jika terlalu tertekan. Mengikut kajian yang dilakukan oleh beberapa pengkaji biokimia, hampir 85% wanita mengatakan dengan menangis akan membuatkan mereka merasa lebih baik dan lega. Jadi wanita sekalian, jangan lagi tahan air mata anda. Wanita bukannya lemah dengan air mata, malah menjadi lebih kuat!

Hanya 1 minit
Senaman ringkas selama seminit seperti berlari setempat juga mampu meningkatkan tenaga serta melawan stress. Hal ini kerana segala anggota badan digerakkan dan ia dapat melancarkan peredaran darah seluruh badan dan perkara ini dapat membuatkan minda kita terasa lebih segar.

Yang sebenarnya stress bukanlah sesuatu yang perlu dilenyapkan dan dihapuskan dalam kehidupan kita. Tetapi ia perlu ditangani dan diurus dengan cara bijak dan betul. Jadi, ubahlah fikiran dan kawal stres. Jjadikan ia cabaran untuk memperbaiki diri menjadi lebih positif.